Penjelasan anak Syeikh Ramadan Al-Buti mengenai ayahnya dan krisis Syria
KETUA Ikatan Ulama Syria, Dr Taufiq
Ramadan al-Buti yang merupakan anak ulama terkemuka Syria, As-Syahid
Syeikh Ramadan al-Buti menceritakan detik-detik akhir kematian ayahnya
di tangan puak radikal.
Pelbagai tuduhan serong ditujukan kepada
As-Syahid sehingga beliau dibunuh dan buku-bukunya dibakar. Padahal
menurut Taufiq, sikap ayahnya sangat neutral dalam konflik Syria. Tidak
cenderung kepada mana-mana pihak lantaran krisis yang melanda Syria.
“Ada agenda besar tersembunyi di sebalik fitnah di Syria,” katanya.
Wartawan portal Indonesia Republika
Online, Nashih Nashrullah, berkesempatan berbincang dengan anggota dewan
penasihat Presiden Basyar al-Assad itu, sewaktu kunjungannya ke
Indonesia menghadiri International Conference of Islamic Scholars
(ICIS). Berikut petikan temu bual tersebut:
Apakah sebenarnya yang terjadi pada detik-detik akhir menjelang kematian Syeikh Ramadan Al-Buti?
Pada 21 Mac 2013, selepas solat Maghrib,
seorang pemuda lingkungan usia 18 tahun datang masuk ke Masjid al-Iman,
Damsyik. Dia pada mulanya duduk di belakang dua minit, lalu beranjak
mendekati posisi ayah yang sedang menyampaikan kajian tafsir. Jarak
antara pemuda dengan posisi beliau duduk kira-kira 6 meter. Lalu pemuda
itu meledakkan dirinya. 45 orang jemaah meninggal dunia di tempat
kejadian.
Jumlah kematian sebenarnya 53 orang.
Letupan itu tidak terlalu memberi kesan teruk kepada ayah, hanya luka
ringan di bahagian bibir. Bahan letupan C-4 itu di dalamnya terdapat
potongan-potongan material kecil. Letupan itu begitu dahsyat. Dalam
keadaan penuh berdarah, Ahmad (anak saya) cuba membantu datuknya tetapi
tidak berjaya. Ahmad terjatuh dan akhirnya syahid di hospital.
Melalui telefon, kami mendapat maklumat
bahawa ayah hanya luka di bahagian kening dan kaki, tetapi Allah SWT
mempunyai rancangannya. Ketika tiba di hospital, saya dimaklumkan bahawa
beliau telah meninggal dunia. Saya akhirnya melihat jenazah, perasaan
bercampur aduk, seolah tak percaya. Beliau seperti tertidur biasa.
Mukanya putih, badannya masih panas, bibirnya merah, saya cium
keningnya. Saya bertanya kepada doktor, bagaimana keadaan Ahmad, anak
saya? Doktor menjawab dia sudah meninggal dunia.
Apakah ada apa-apa petunjuk sebelum peristiwa tragik ini terjadi?
Yang jelas, mereka menyedari Ramadan
Al-Buti telah menyingkap keburukan di balik krisis Syria ini dan harus
segera diselesaikan. Beberapa bulan sebelum ayah wafat, ketika berada
dalam satu pertemuan bersama keluarga, beliau berkata,” Saya bermimpi,
wallahu a’lam, apa maknanya, tapi saya berfirasat, ajal telah dekat.”
Kejadian keganasan sebenarnya tidak membuatkan kami hairan, kami sudah
menjangkakan ini semua bakal terjadi, kami risaukan ayah kami.
Maksud yang tersirat ialah mereka hendak
menconteng wajah Islam menggunakan Ramadan Al-Buti. Kali pertama krisis
Syria, ketika saya sedang berada di Brunei Darussalam, sebuah bom
dijatuhkan di depan rumah kami, selepas itu, sebuah bom pernah dilempar
nyaris terkena kereta saya. Jadi ini bukan kali pertama tetapi berulang
kali.
Sudah beberapa kali ada pihak menulis
ancaman-ancaman dengan kata-kata kasar, menjijikkan di tembok rumah
kami. Begitulah mereka. Kerana itu, beliau menyarankan agar tidak pergi
ke masjid, meski jarak rumah kami tak terlalu jauh kerana jalan menuju
masjid tidak lagi selamat. Beberapa hari kemudian, ayah saya kembali
mengumpulkan keluarga, termasuk anak-anak saya.
Beliau meminta agar anak lelakiku,
Mahmud yang tengah sakit untuk tidak pergi merakam ceramah rutin beliau
di Universiti al-Kuwait, dekat rumah. Namun, permintaan ini tidak
didengarinya, Mahmud dan Ahmad tetap pergi merakam episod ke-17 ceramah
bertajuk Fi Qadhaya as-Sa’ah ma’a Al-Buti (Isu Semasa Bersama Al-Buti)
yang diajar oleh datuknya itu.
Selepas itu, Ahmad meminta izin untuk
keluar daripada kesemua ahli keluarga, seakan hendak pergi jauh.
Mendekati Maghrib, dia bergegas menuju rumah atukya seolah-olah ada
janji. Keduanya lantas solat Maghrib di Masjid al-Iman. Sementara Mahmud
tetap berada di rumah.
Selepas solat saya terkejut mendapat
berita bahawa berlaku letupan besar di Masjid Al-Iman. Saya bergegas
menuju masjid. Kami cuba untuk kekal tenang dan ingin mengetahui apa
yang sedang berlaku, meskipun berita itu menggoncang perasaan kami. Kami
kemudian bergerak menuju ke hospital bersama keluarga, termasuk isteri
Ahmad.
Apakah sebenarnya pendirian Syeikh Ramadan dalam isu Syria?
Berkenaan krisis Syria, almarhum ayah
memiliki sikap yang berlandaskan kaedah syarak. Bagaimanapun sikap itu
tidak bermakna cenderung kepada hanya satu pihak, atau menyokong pihak
lainnya, akan tetapi berpegang pada dua perkara. Pertama, hukum syariat
menentang ulil amri (pemerintah) merujuk hadis dan pendapat ulama
berkait dengan masalah ini. Kedua, fitnah ini adalah rancangan pihak
luar terutama Zionis yang menginginkan pertumpahan darah di Syria dan
juga kehancuran dan perpecahan negara ini.
Jelas di hadapan kami, agenda besar
memecah-belahkan Syria berdasarkan mazhab dan puak-puak hingga menjadi
negara-negara kecil yang saling berseteru. Kami mempunyai bukti. Keadaan
ini membuatkan almarhum ayah saya sangat neutral, tidak memuji
pemerintah dan tidak pula mencelanya, justeru menjelaskan hukum
syaraknya dan memperingatkan kesan daripada fitnah ini. Anda boleh semak
sikap beliau dalam video dokumentari pendek di Youtube dari awal krisis
ini bangkit hingga menjelang hari syahidnya dengan tajuk “Wathaiqi
Haula Mauqif Al-Allamah Al-Buti min Al-Azmah As-Suriyah.” Klik di sini.
Faktanya, ‘serangan’ bertubi-tubi
ditujukan kepada beliau dari stesen tv yang berpihak kepada puak yang
menyebarkan fitnah dan menggelarnya dengan bermacam-macam gelaran.
Padahal begitu jelas, ayah saya tak pernah sehari pun memuji Basyar
al-Asad. Tiap kali bertemu Asad, Ramadan Al-Buti menasihatinya secara
langsung, tidak menyanjung. Berbeza dengan ulama lainnya yang bermulut
manis di depan Asad, lalu mereka menyebarkan fitnah tatkala berada di
belakang Presiden itu. Unsur penakutan dan ancaman yang ditujukan kepada
ayah saya pun mula timbul.
Apakah sebenarnya yang berlaku di Syria?
Konflik di negara kami bukan konflik
mazhab dan agama, antara Sunni dan Syiah, atau Muslim dan bukan Muslim.
Ada tiga sasaran utama daripada krisis yang melanda Syria sekarang.
Pertama menghancurkan Syria. Kedua, memburukkan dan menconteng wajah
Islam di mata dunia, sebagai agama yang menyeramkan sekaligus menakutkan
agar mereka menjauhi risalah ini. Kita ada bukti. Misalnya, perang
Syria sekarang hakikatnya tidak melibatkan sesama warga Syria asal sama
sekali. Tetapi, konflik ini direncanakan agar melibatkan warga sesama
Syria. Kita lihat sekarang IS, tak semuanya orang Syria, begitu juga
Jubha el-Nusra, mereka gabungan ‘mujahid’ dari pelbagai negara.
Apakah mereka datang hanya untuk Asad?
Tidak. Mudah saja, jika masalahnya adalah Asad, maka lihatlah apa yang
terjadi di Libya. Adakah ketika Gaddafi berjaya digulingkan dan dibunuh,
masalah selesai? Tidak! Jadi itulah puncanya. Selain itu, ketika Saddam
Husein mati di tali gantung, adakah masalah Iraq selesai? Tidak. Mereka
ingin Syria porak poranda kerana negara ini dianggap sukar untuk
ditakluki. Syria hingga sekarang tidak mahu menyerahkan kedaulatannya
kepada mereka.
Apakah ada bukti lain yang menunjukkan krisis Syria ini lebih besar daripada setakat isu dalaman negara?
Sekarang saya tunjukkan bukti lagi.
Ramai para ‘mujahid’ yang berasal dari Perancis, Inggeris, ratusan
hingga ribuan datang ke Syria bersama dengan isteri mereka bahkan
melibatkan media dan beranggapan, bahawa pintu syurga terbuka melalui
Syria. Mereka datang bukannya tanpa pengetahuan negara-negara Barat,
jelas Barat tahu.
Mustahil pasukan penyiasat mereka tak
mampu mengesan gerak-geri para ‘mujahid’ itu. Kita mempunyai rakaman
bagaimana aktiviti mereka. Lihat saja, bagaimana seorang ‘mujahid’
membunuh tentera Syria, mengeluarkan jantung lalu memakannya. Apakah
maksudnya? Tak lain tak bukan ingin menunjukkan kepada Barat, inilah
imej buruk Islam jika kalian memeluk agama ini, pada penghujungnya akan
jadi seperti ini. Jadi, apa yang terjadi di Syria sekarang, ialah
menggunakan nama Islam tetapi untuk ‘menyembelih’ agama ini.
Tetapi mereka melandaskan doktrin mereka dengan agama?
Untuk perkara ini, saya meragui
keIslaman mereka. Kalaupun Islam, mereka adalah kalangan yang tidak
mengerti hukum-hukum syariat. Islam masuk ke Eropah hanya kulitnya,
permukaan saja. Dalam keyakinan para ‘mujahid’ itu, pintu syurga terbuka
luas di Syria. Memang tidak semua termakan dengan propaganda negatif
Islam itu, 20 peratus mungkin bersikap bijak bahawa aksi teror di Syria
ini bukan mewajahkan Islam, tapi 80 peratus tak banyak yang tahu.
Situasi ini jelas turut dimanfaatkan
oleh Barat. Inilah tujuan ketiga daripada krisis Syria, iaitu
menghapuskan umat Islam di Eropah. Biarkan Muslim Eropah berjihad ke
Syria, ratusan bahkan ribuan, dan biar mereka meninggal di sana. Ini
pula tujuan ketika Barat membiarkan Muslim Eropah berjihad ke
Afghanistan dan Iraq. Kita sudah dalam tahap sasaran ketiga ini. Barat
tak takut dengan Islam di timur, tetapi yang mereka takuti adalah
kebangkitan Islam di Barat. Jika mereka takut Islam di Timur pasti
mereka akan menghapuskan para ‘mujahid’ sejak diimigrasi.
Mengapa sekali lagi IS dan para ‘mujahid’ mendasari doktrin itu dengan agama?
Ideologi radikal dan ekstrem itu tidak
berdiri sendiri. Ada senario besar di belakangnya. Saya tak perlu sebut,
semua orang tahu. Anda boleh lihat sendiri, mengapakah IS tak memerangi
Israel, tetapi berperang dengan saudara sesama Islam? Dan lihatlah
bagaimana Jubha el-Nusra boleh mendapatkan logistik bahkan hingga
peralatan perang dari Israel? Rudal Hawn berasal dari Israel. Luka
el-Nusra juga ternyata diubati di Israel.
Saya rasa, para ‘mujahid’ itu tidak
sepenuhnya menyedari senario besar ini. Pemahaman Islam mereka hanya di
permukaan. Buktinya, fatwa-fatwa yang mereka keluarkan sangat dangkal
dan jauh daripada prinsip Islam, seperti jihad nikah, atau penggunaan
dadah. Mereka bersembunyi di balik ayat-ayat perang, padahal jelas
Rasulullah SAW tidaklah diutus kecuali menjadi rahmat bagi alam semesta.
IS merosakkan fasiliti umum, memutuskan
elektrik, menghancurkan stesen bahan bakar gas, mereka jual murah minyak
mentah. Belum lagi cara mereka berselindung di balik masyarakat awam.
Salah jika Syria dituding kerana yang menggunakan orang awam sebagai
benteng hidup, adalah mereka. Tentera Syria kini mendekati mereka head
to head. Inilah bukti bahawa radikalisme dan ekstremisme mereka diangkat
daripada doktrin percakapan kosong.
Di tengah-tengah kehangatan konflik Syria ini, adakah anda yakin krisis ini akan berakhir?
Dalam konteks Syria, saya tidak melihat
secara fizikal. Saya hanya melihat prinsip-prinsip ketuhanan yang agung.
Rasulullah SAW dalam hadis sahihnya mengatakan, bahawa Allah SWT akan
menjaga Syam dan penduduknya. Kita sangat yakin itu. Syria yang diramal
jatuh dalam kiraan minggu atau beberapa bulan, ternyata Alhamdulillah,
memasuki tahun kelima, Allah masih melindungi negara kami.
Syria hari ini bahkan lebih kuat
daripada sebelum ini. Pembangkang di Damsyik, sudah kalah. Beberapa
wilayah juga kembali ke pangkuan Syria. Para ‘mujahid’ di Ghoutah saling
berperang sesama mereka. Kawasan barat daya hingga perbatasan Palestin,
memang masih ada perang, tapi keadaan semakin baik, begitu juga di
Dar’a. Di wilayah Timur, seperti Ruqqa, sebagian besar IS hampir
berundur.
Meskipun demikian, kita tidak menafikan
kesalahan adalah berpunca daripada sebahagian kita. Tetapi, yang kita
bicarakan adalah persoalan politik dan dinamika yang berkembang. Saya
kembalikan lagi kepada bimbingan Allah SWT dalam Al-Quran yang
mengatakan “Dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan)
dirimu sendiri.” (QS an-Nisaa 4: 79). Saya yakin, krisis ini akan
berakhir di bawah kemenangan Syria. Tetapi marilah kita berdoa agar
orang yang melakukan dosa tidak menjadi penghalang kemenangan ini
terwujud. Krisis ini adalah ujian dan pendidikan bagi kita.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/12/penjelasan-anak-syeikh-ramadan-al-buti-mengenai-ayahnya-dan-krisis-syria/
Penjelasan anak Syeikh Ramadan Al-Buti mengenai ayahnya dan krisis Syria
Reviewed by Unknown
on
17.37
Rating: